23 Ogo 2011

PERTINDIHAN MAKSUD DALAM BAHASA MELAYU

PERTINDIHAN MAKSUD DALAM BAHASA MELAYU

Dalam proses pembentukan kata dan frasa bahasa Melayu terdapat banyak kesilapan perulangan maksud yang sama. Perkara ini menyebabkan kata dan frasa yang dibentuk menjadi tidak gramatis atau tidak menepati nahu ataupun hukum-hukum tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini kebanyakannya berpunca daripada kebiasaan penggunaannya dalam pertuturan lisan yang tidak mementingkan nahu ataupun hukum tatabahasa. Dalam pertuturan lisan, hal ini dianggap betul walaupun sebenarnya bercanggah dengan proses pembentukan kata dan frasa yang betul. Misalnya perkataan ‘mereka’ yang merujuk bilangan lebih daripada satu diulang menjadi ‘mereka-mereka’. Hal ini menyebabkan berlaku pertindihan maksud yang sama. Walaupun penggandaan pada perkataan ‘mereka’ menjadi ‘mereka-mereka’ tidak menjejaskan maksud asalnya, namun pembentukannya menyalahi nahu ataupun tatabahasa bahasa Melayu yang tidak membolehkan dua maksud yang membentuk makna yang sama dalam kata dan frasa diulang.
Hal yang sama dapat diperhatikan dalam pembentukan frasa ‘paling besar sekali’. Perkataan penguat depan ‘paling’ merujuk maksud darjah penghabisan, begitu juga dengan perkataan penguat belakang ‘sekali’ yang merujuk maksud yang sama. Maka apabila dibentuk frasa ‘paling besar sekali’ , sebenarnya kita telah mengulang perkara yang sama ataupun dengan kata lain telah berlaku pertindihan maksud yang sama dalam satu frasa.
Teliti ayat berikut yang menunjukkan pertindihan maksud yang sama dalam satu ayat serta merujuk perkara yang sama tetapi dianggap oleh kebanyakan pengguna bahasa Melayu sebagai betul walaupun sebenarnya mengandungi kesalahan tatabahasa.
Kesalahan Contoh 1:

Petani-petani di desa itu rajin-rajin belaka ketika mengusahakan ladang mereka.
Keterangan:
‘Petani-petani’ merupakan penggandaan pada kata nama yang merujuk maksud bilangan lebih daripada satu. ‘Rajin-rajin’ merupakan kata adjektif yang merujuk kepada maksud bilangan dan merujuk kepada petani-petani yang bersifat rajin.

Kesalahan Contoh 2:

Mereka saling bersalam-salaman ketika bertemu di warung itu.
Keterangan:
Perkataan ‘saling’ merujuk maksud berbalas-balas antara dua pihak. Perkataan ‘bersalam-salaman’ juga merujuk maksud berbalas-balas salam iaitu antara beberapa orang yang bersalam antara satu sama lain. Antara kesalahan pertindihan maksud yang sama dalam satu ayat ialah;

Pertindihan Maksud Kata Nama

Kata nama yang telah merujuk maksud bilangan tidak boleh digandakan.
Kesalahan Contoh:
- Mereka-mereka
- Umat-umat
- Rakyat-rakyat
- Penduduk-penduduk
- Pertindihan Maksud Kata Sendi Nama
- Demi untuk
- Oleh kerana

Keterangan:

Kata sendi nama ‘demi, untuk dan bagi’ merujuk maksud kegunaan sesuatu, bahagian yang ditentukan dan maksud tujuan. Penggunaan ‘untuk’ dan ‘bagi’ pada kata sendi nama ‘demi’ merupakan pertindihan maksud yang sama dan harus digugurkan.
Hal yang sama pada kata sendi nama ‘oleh kerana’. Kata sendi nama ‘oleh’ salah satunya merujuk maksud ‘sebab’, maka kata ‘kerana’ yang merujuk maksud yang sama tidak harus digunakan dan perlu digunakan salah satu sahaja. teliti contoh kesalahan di bawah. Kata sendi nama ‘oleh’ boleh dibentuk menjadi ‘oleh sebab’ kerana kata ‘sebab’ bukan merupakan kata sendi nama, maka tidak berlaku pertindihan maksud yang sama dalam frasa berkenaan.

Kesalahan Contoh:

- Mereka berjuang demi untuk keamanan negara ini.
- Demi untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, dia telah membuat persediaan sejak awal
lagi.
- Pendekar itu mati oleh kerana senjatanya sendiri.
- Pasukan itu kalah oleh kerana keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan.

Ayat Sepatutnya:

- Mereka berjuang demi keamanan negara ini.
- Demi mencapai kejayaan dalam peperiksaan, dia telah membuat persediaan sejak awal lagi.
- Pendekar itu mati oleh (sebab)senjatanya sendiri. Atau. Pendekar itu mati kerana senjatanya
sendiri.
- Pasukan itu kalah oleh (sebab) keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan. Atau. - Pasukan itu kalah kerana keletihan semasa perjalanan ke tempat pertandingan.
Kata ‘sebab’ dalam frasa ‘oleh sebab’ boleh digugurkan tanpa mengubah maksud ayat berkenaan.


Pertindihan Maksud Frasa Nama

 Kata Jamak

Kata jamak merujuk maksud bilangan. Terdapat pelbagai jenis kata jamak dalam bahasa Melayu. Sila rujuk jenis kata jamak. Senarai kesalahan yang sering dilakukan dalam pembentukan kata jamak ialah apabila kata nama selepas kata jamak digandakan dan merujuk maksud bilangan.

Peringatan!
Terdapat kata ganda yang tidak merujuk maksud bilangan, misalnya kura-kura, jentik-jentik, kanak-kanak, biri-biri. Bagi kata ganda yang tidak merujuk maksud bilangan kata jamak perlu digunakan untuk menunjukkan maksud bilangan. Misalnya ‘semua kanak-kanak’, ‘kebanyakan biri-biri’ ataupun ‘semua rama-rama’.)


Senarai Kesalahan Frasa Nama Yang Merujuk Pertindihan Maksud Yang Sama

1. Pelbagai barang-barang,
2. Senarai harga-harga
3. Semua sekolah-sekolah
4. Beberapa buah kedai-kedai
5. Segala kerja-kerja
6. Kebanyakan guru-guru
7. Setiap pekerja-pekerja
8. Semua ketua-ketua jabatan
9. Segelintir penduduk-penduduk kampung
10. Sebahagian projek-projek pembangunan
Semua frasa di atas perlu digugurkan penggandaan pada kata nama ataupun digugurkan kata bilangannya.


Pertindihan Maksud Frasa Kerja

Pembentukan frasa kerja juga menampakkan pertindihan maksud yang kadang kala tidak begitu disedari oleh pengguna bahas Melayu. Teliti ayat berikut;

Kesalahan Contoh:
1. Budak lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali ketika disuruh makan..
2. Para pelajar di kelas itu mengangguk-anggukkan kepala berkali-kali sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman.
3. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan saling berkejar-kejaran di tepi pantai.
Keterangan:
Frasa kerja ‘menggeleng-gelengkan kepala’ dan ‘menangguk-anggukkan kepala’ sudah merujuk maksud berulang-ulang ataupun lebih daripada sekali, maka seharusnya frasa ‘berkali-kali’ tidak perlu digunakan dan harus digugurkan. Frasa ‘berkali-kali’ boleh digunakan sekiranya frasa kerja ‘menggeleng-gelengkan’ dan ‘mengangguk-anggukkan’ tidak digandakan dan ayat menjadi seperti berikut;

Ayat Sepatutnya:
1. Budak lelaki itu menggelengkan kepalanya berkali-kali ketika disuruh makan. (atau) Budak lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya ketika disuruh makan.
2. Para pelajar di kelas itu menganggukkan kepala berkali-kali sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman. (atau) Para pelajar di kelas itu mengangguk-anggukkan kepala sebagai isyarat bahawa mereka faham akan penerangan Cikgu Leman.
3. Beberapa orang kanak-kanak kelihatan saling berkejaran di tepi pantai. (atau) Beberapa orang kanak-kanak kelihatan berkejar-kejaran di tepi pantai.

Pertindihan Maksud Frasa Sendi
Selain itu, kata nama selepas ‘di antara’ dan ‘antara’ TIDAK BOLEH digandakan. Hal ini disebabkan perkataan ‘antara’ dan ‘di antara’ sudah merujuk maksud bilangan ataupun lebih daripada satu iaitu sekurang-kurangnya dua unsur. Hal yang sama berlaku dalam pembentukan kata sendi ‘hingga’ dan ‘ke’ yang kerap digunakan serentak.
Contoh Kesalahan:
1. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran ialah....
2. Antara bandar-bandar besar yang terdapat di Malaysia ialah....
3. Hingga ke hari ini, mereka tidak pernah datang lagi ke sini.

Dalam proses pembentukan frasa adjektif terdapat penggunaan kata penguat iaitu kata penguat depan (paling, begitu, agak), kata penguat belakang (sekali, benar, nian) dan kata penguat bebas (sangat, sungguh, amat). Kata adjektif yang telah menerima imbuhan ‘ter’ dan merujuk maksud darjah penghabisan juga tidak boleh menerima kata penguat kecuali pada kata penguat bebas (teramat pandai, tersangat masyhur – bentuk ini merupakan kekecualian dalam pembentukan frasa adjektif). Kecuali adjektif yang menerima kata penguat bebas, penggunaan dua kata penguat (penguat depan dan penguat belakang) dalam adjektif merupakan kesalahan dalam pembentukan frasa adjektif.

Kesalahan Contoh:
1. Pembangunan di kawasan tersebut begitu pesat sekali sejak akhir-akhir ini.
2. Pasukan bola sepak yang paling hebat sekali di dunia ialah pasukan bola sepak Brazil.
3. Bangunan yang tertinggi sekali di dunia itu musnah dalam satu kebakaran pada malam tadi.

Ayat Sepatutnya
1. Pembangunan di kawasan tersebut begitu pesat (atau) pesat sekali sejak akhir-akhir ini.
2. Pasukan bola sepak yang paling hebat (atau) hebat sekali di dunia ialah pasukan bola sepak Brazil.
3. Bangunan yang tertinggi (atau) tinggi sekali di dunia itu musnah dalam satu kebakaran pada malam tadi.

Selain itu penggandaan pada kata nama dan penggandaan pada kata adjektif dalam satu satu ayat dan merujuk maksud yang sama juga dianggap kesalahan.
Kesalahan Contoh:
1. Kereta-kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik-cantik (kata adjektif) belaka.
2. Buah-buahan (kata nama) yang dijual di gerai itu segar-segar (kata adjektif) belaka.
Ayat sepatutnya
1. Kereta-kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik (kata adjektif) belaka.
2. Buah-buahan (kata nama) yang dijual di gerai itu segar (kata adjektif) belaka.
atau
3. Kereta (kata nama) yang dipamerkan dalam pameran automobil itu cantik-cantik (kata adjektif) belaka.
4. Buah (kata nama) yang dijual di gerai itu segar-segar (kata adjektif) belaka.

Rumusan
Perlu diingat walaupun pertindihan maksud dalam pembentukan kata dan frasa tidak mengubah maksud ayat, namun pembentukannya dianggap lewah dan tidak menepati hukum tatabahasa bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PELANTIKAN PENGAWAS

HARI GURU PADA 17 MEI 2010

DAFTAR TETAMU